Jumaat, 23 Januari 2015

Pentadbiran


Mukadimah




MUQADDIMMAH.
Bismillahhirrahmannirahim.
Dengan nama Allah yang maha pemurah lagi penyayang  dan mengasihani, segala puji kami panjatkan ke hadrat Allah  Subhanahuwata’ala dan salam keatas junjungan Rasullullah SAW yang mulia, serta para sahabat dan pengikutnya.

Terlebih dahulu lafaz syukur ke hadrat Ilahi dengan izin dan limpah kurnianya SK NAM HENG telah dapat dihasilkan. Semoga semua kandungan dalam buku ini dihayati dan dapat dilaksanakan dengan berkesan dan berjaya mencapai matlamatnya. Insyallah.

Pengurusan Fizikal sekolah, Pengurusan Pentadbiran, Pengurusan Kewangan, Pengurusan Akademik, Hal Ehwal Murid dan Kokurikulum adalah satu perkara wajib yang terkandung dalam PPPM oleh Kementerian Pelajaran dan dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang  menjadi tanggungjawab kepada semua golongan pendidikan untuk merealisasikan murid menjadi modal insan cemerlang sebagai aset Negara di masa akan datang.

Semua warga pendidik SK Nam Heng, mesti mempunyai semangat dan iltizam yang tinggi dalam melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan . Kita mesti berfikir secara rasional, positif dan keterbukaan serta bertekad melahirkan insan terbilang sepanjang hayat untuk kebahagian dunia dan akhirat.

Oleh itu seluruh warga Sekolah Kebangsaan Nam Heng, Guru-Guru, kakitangan, para pekerja dan murid-murid, mesti mempunyai dan mempersiapkan diri dari segi jasmani, rohani,  intelek, mental dan sosial ke arah merealisasi Malaysia sebuah negara bertaraf negara maju pada tahun 2020.

Terima kasih.

Khamis, 15 Januari 2015

Profil Sekolah




LOKASI SEKOLAH



Sekolah ini jauhnya kira-kira 18 km dari pekan Ulu Tiram dan 24 km dari Bandar Kota Tinggi. Dari Kota Tinggi jalan pintas ke sekolah terpaksa melalui ladang kelapa sawit dan jalan tanah merah dalam kawasan Ladang REM.
Sekolah ini terletak di tengah-tengah Ladang Nam Heng dan dikelilingi oleh beberapa buah kampung seperti Kampung Air Putih, Kampung Tengah, Kampung Paya, Kampung Sungai Serai, Kampung Sungai Redan dan lain-lain lagi.
Murid-muridnya terdiri daripada kaum melayu dan sebahagian kecil keturunan India Muslim. Pekerjaan ibu bapa mereka ialah nelayan, pekerja ladang, pekerja kilang dan lain-lain lagi.
SEJARAH SEKOLAH 

Sekolah Kebangsaan Nam Heng dibina dalam tahun 1955. Sekolah ini terletak dalam daerah Kota Tinggi tetapi dalam mukim Sungai Tiram, Johor Bahru. Peringkat awal separuh daripada kos pembinaannya dibiayai oleh kerajaan, sementara sebahagian lagi diperolehi dari hasil kutipan derma penduduk tempatan. Bangunan pertama yang didirikan berhampiran dengan pejabat ladang yang mana ianya berupa bangunan papan yang mengandungi 3 bilik darjah sahaja. Ia disiapkan hasil gotong-royong penduduk setempat

Berikutnya pada 3 September 1970, Sekolah kebangsaan Nam Heng berpindah ke bangunan setingkat yang ada sekarang iaitu di tanah MLO 219 Lot 1518 Mukim Sungai Tiram yang luasnya 3 ekar 1 rod 38 pol. Sebelas tahun kemudian iaitu pada 3 September 1981, sebuah lagi bangunan dua tingkat didirikan di kawasan yang sama. Di bangunan baru 2 tingkat ini terdapat perpustakaan, bilik komputer, 2 buah kelas, bilik SPBT dan sebuah kantin. Pada tahun 2011 bangunan baru 4 tingkat pula didirikan menggantikan bangunan setingkat yang lama. Bangunan baru ini pula terdapat sebuah bilik guru, 4 buah kelas, pra sekolah, bilik JQaf, bilik muzik, bilik rawatan dan lain-lain lagi. . Selain daripada itu, sekolah ini juga ada dua buah rumah guru yang sudah usang dan perlu diganti baru.

SEJARAH TOKOH NAMA SEKOLAH
Menurut kenyataan beberapa penduduk tempatan, sebelum perang dunia ke dua, Ladang Nam Heng adalah merupakan kawasan perkampungan kaum cina. Nam Heng adalah nama seorang cina yang pertama membuka kawasan lombong yang terdapat di sini. Gelaran tersebut kekal hingga ke hari ini walaupun selepas Jepun dan British menjajah.

PERKEMBANGAN RINGKAS SEKOLAH

Alhamdulillah sekarang sekolah ini telah mempunyai pelbagai kemudahan seperti elektrik, air, internet, TV, Astro, komputer dsb. Seramai 87 orang murid termasuk pra sekolah dibimbing oleh 14 orang guru termasuk seorang guru besar, seorang pembantu tadbir, seorang pembantu pengurusan murid, seorang pembantu awam,  empat orang pekerja swasta kebersihan dan dua orang pengawal keselamatan swasta.